Bisikan hati sentiasa betul. Kalau difikir jadi salah. Namun harus difikir-fikirkan...
Apa terjadi pada diriku hari ini?
Beberapa minggu lepas, aku pulang ke Johor Bahru pada hari Sabtu. Kerana hari ini bukan hari bekerja, kusangka trafik tidak sibuk. Namun sangkaanku meleset kerana jalan raya tetap sesak. Mungkin cuti sekolah agaknya.
Setelah setengah jam merangkak-rangkak di dalam kesesakan itu, barulah kusedar punca kesesakan itu adalah disebabkan sepotong bahagian tangki air terjatuh di tengah-tengah jalan. Semua kenderaan memperlahankan kelajuan masing-masing untuk mengelak tangki air itu.
Hmm, sejam masaku habis disebabkan tangki air itu! Alangkah baiknya kalau ada seorang Samaritan yang mahu mengalihkan tangki itu ke tepi. Aku mahu menjadi orang itu tetapi kuberada di lorong tengah. Bahaya bagiku keluar dari kereta sedang semua orang dengan laju mahu keluar dari kesesakan itu.
Kesabaran memang penting di jalan raya. Selepas Hari Raya lepas, sedang kumemandu untuk pulang ke rumah terjadi kemalangan yang disebabkan kurangnya tahap kesabaran semasa di jalan raya.
Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke kiri, kuberhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan-kenderaan dari kananku berjalan dahulu. Kali ini agak lama kerana kuterlepas peluang semasa lampu isyarat masih hijau tadi.
Kusedar seorang Pakcik yang menunggang skuter berada di kananku. Kelihatan mahu cepat. Dia berjalan dahulu. Kumahu ikuti dia tapi kelihatan beberapa buah kereta amat laju dari bergerak dari kanan kerana tak mahu terlepas peluang mereka sementara lampu isyarat masih hijau.
Setelah kupastikan tiada kenderaan lagi bergerak dari kanan, tiba-tiba terdengar bunyi bingit tayar kenderaan yang dah terkunci menggosok tar jalan raya akibat tekanan brek mengejut pemandunya. Lantas kuberpaling ke kiriku. Rupanya salah satu kereta yang laju tadi menghentam Pakcik yang menunggang skuter tadi! Secara langsung di depan mataku kumelihat Pakcik tadi melambung dari skuternya setelah dirempuh dari belakang oleh kereta tadi persis adegan lagak ngeri di kaca TV.
Pemandu itu lantas keluar dari keretanya melihat keadaan Pakcik itu. Rupanya dia seorang anggota polis trafik, masih lengkap dengan pakaian seragamnya walaupun berkenderaan biasa. Seorang pemandu lain di laluan bertentangan yang masih menunggu untuk bergerak bertanya kepadanya kenapa terjadi sebegitu, dia menunjukkan tangannya ke arah lampu isyarat yang pada kejadian menunjukkan dia berhak untuk bergerak.
Pakcik itu kelihatan bersusah-payah untuk berdiri. Raut wajahnya kelihatan amat terkejut. Aku tak sanggup lagi melihat episod ini. Aku terpaksa bergerak dahulu. Aku kesuntukan masa kerana aku harus memulakan perjalanan jauh sebentar lagi. Kutinggalkan tempat itu sedang para pemandu lain berhenti untuk membantu Pakcik itu dan ada juga yang hanya memerhatikan saja.
Setelah berlalu, kuberfikir semula - nasi aku baik kerana kelengahan aku. Aku tak terburu-buru tadi. Kalau tidak, nasibku seperti Pakcik tadi. Kasihan Pakcik itu...
Seusai kursusku di KL, aku terus pulang. Pulang lebih awal sehari dari sepatutnya kerana masih banyak kerja untuk dibereskan di JB.
Dalam perjalanan pulang yang menyusuri lebuhraya, kurasa sistem ampaian keretaku seolah-olah dah rosak. Rasa melambung-lambung apabila bergerak di jalan yang kurang rata. Apabila mengambil selekoh, arah keretaku seperti membuang dan memerlukan lebih tenaga untuk mengenderainya.
Apabila berhenti untuk diperiksa, sudah sah tayar keretaku pancit. Nasib baik kusudah sediakan payung sebelum hujan. Sudah kusediakan sebuah pam angin kecil di dalam butku. Dengan mengepam tayar, keretaku masih boleh bergerak tetapi kehilangan angin akan lebih cepat dari keadaan normal.
Tujuanku sekarang ialah keluar di Exit terdekat dan mencari bengkel terdekat. Akhirnya tampak Exit Simpang Empat. Nasibku baik kerana ada bengkel yang tak jauh dari plaza tol.
Apabila diperiksa, ada beberapa paku melekat di tayar keretaku! Hanya dua yang berjaya menusuki dengan dalam sehingga mampu mengeluarkan angin. Mekanik di situ terkejut. Kuberfikir di mana ku telah pergi sehingga terjadi sebegitu. Rasanya tak ada pula kupergi ke mana-mana yard. Tak tahulah di mana. Akhirnya tayarku ditampal dan kuboleh meneruskan perjalanan dan selamat sampai ke JB.
Keesokannya sewaktu kupulang ke rumah selepas kerja, kuterima satu lagi ujian. Sedang sempat kuberhenti untuk mengelak keretaku di depan yang membrek mengejut dan sudah kupasti kereta di belakangku juga sempat berhenti, tiba-tiba kereta di belakangku itu teranjak dari tempat asalnya dan terus melanggar keretaku! Sudah sah kereta yang lain dari belakang melanggarnya.
Ah, apa sudah jadi. Perjalananku disentak kejadian sebegini. Sudah pasti akan memakan masa menyelesaikan masalah ini. Yang paling belakang alias pencetus kemalangan tak tahu apa patut dilakukan. Ini juga pengalaman pertamaku terlibat dalam kemalangan semasa berkereta. Yang di tengah menelefon rakannya.
Yang di belakang sekali keretanya tak mampu untuk bergerak lagi kerana kerosakan enjin. Yang di tengah setelah di"sandwich" rosak di belakang dan di depan keretanya. Keretaku pula rosak di bumper.
Ku tak mahu membuang masa di situ. Kereta di belakang sekali pasti perlu ditarik dan masa untuk menunggu trak datang pasti akan lama kerana jalan sudah sesat. Kucakap pada mereka aku perlu pulang dahulu. Kami berjanji untuk bertemu di balai polis saja.
Di balai polis, kami terpaksa menunggu lagi. Banyak kes-kes lain yang terawal perlu diselesaikan dahulu oleh polis. Sesudah penyiasatan kami perlu menunggu lagi kerana yang ditugaskan mengambil gambar sebagai bahan bukti tiada pula. Akhirnya kami menyelesaikannya setelah lima jam dari waktu kemalangan. Sungguh menyeksakan... Sabar sajalah.
Setelah melalui ujian-ujian ini, ku masih merasa lega dan syukur kerana pada setiap masalah yang kuhadapi telah ada penyelesaiannya. Ku juga mampu tersenyum kerana dianugerahkan bumper baru untuk keretaku tanpa perlu berbelanja sendiri sedang kusudah bercadang untuk mengecat bumperku yang telah calar-balar itu... :)
Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, banyak perkara buruk berlaku pada keretaku. Innalillah. Di kampung beberapa hari seusai pengkebumian ibuku (sudah tentu ini inilah perkara terbesar yang disebut Innalillahi wa inna ilaihi rajiun...), kipas radiator keretaku terhenti berpusing. Kusangka penghawa dingin rosak, rupa-rupanya kipas radiator yang rosak. Akhirnya pulih semula setelah kutukar motor kipas itu.
Sewaktu pulang ke Johor, kipasku meragam lagi. Selepas solat di Kuantan, suhu di dalam keretaku masih panas walaupun penghawa dingin dipasang. Sudah sah, kipas radiatorku rosak lagi! Apa boleh buat, tawakkal saja untuk sampai ke Johor. Apabila berhenti, enjin mesti dimatikan. Kalau tak, boleh terbakar enjin keretaku. Sewaktu berjalan, angin terhasil dari pergerakan kereta masih boleh menyejukkan enjin. Harap-harap begitu hendaknya hingga sampai ke destinasi.
Sebelum sampai ke Kota Tinggi, kelihatan beberapa petugas mengarahkan trafik membuat lencongan. Nampaknya banjir yang kudengar tempoh hari di jalan ke Johor Bahru masih mengganggu lalulintas dari Pantai Timur Johor ke Selatan Johor. Kusangka berita yang mengatakan jalan sudah dibuka semula rupanya masih belum atau lebih tepat lagi tidak sepenuhnya.
Petugas dari Syarikat Air Johor (SAJ) itu mengatakan boleh untuk meneruskan perjalanan tanpa lencongan tetapi terdapat kesesakan teruk di hadapan. Lencongan ke jalan alternatif itu pula lebih jauh 90 kilometer dari laluan biasa! Ah, keretaku pasti tidak boleh melalui kesesakan itu. Dengan kipas yang masih tak mahu berpusing, sudah pasti perkara lebih buruk terjadi bakal terjadi jika kulalui laluan itu.
Tanpa berfikir panjang walaupun perjalananku bakal ditambah 45 minit lebih lambat, kusanggup ambil jalan alternatif ini. Ku tak pasti jalan mana yang akan dilalui. Pasti jalan ini melalui kawasan-kawasan Felda yang tak perlu kujejaki. Ikut sajalah kenderaan-kenderaan yang berbaris-baris itu. Pasti destinasi mereka juga sama denganku iaitu Johor Bahru.
Setelah melalui kawasan gelap dan ditinggalkan kereta-kereta lain yang lebih laju, maklum keretaku tak mungkin boleh dibawa selaju itu, akhirnya kutemui jalan yang pernah kulalui iaitu jalan ke Desaru. Kuambil arah Johor Bahru. Walaupun sudah malam dan perjalanan sudah mencecah sembilan jam yang sepatutnya dalam keadaan biasa sudah sampai ke destinasi, kuberhenti dulu untuk makan dan solat.
Sesudah itu baru kusambung perjalananku. Akhirnya setelah 11 jam memandu, akhirnya aku sampai ke Johor Bahru. Penat sangat. Dua tiga hari lagi aku ke Kuala Lumpur untuk satu lagi latihan.
>>bersambung dengan kejadian malang lain sewaktu pulang dari KL ke Johor Bahru<<